Monday, February 9, 2009

Hishammuddin jamin peruntukan PIBG cukup

24/01/2009 4:42pm
TEMERLOH 24 Jan. — Pengagihan peruntukan untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menjalankan aktiviti tahunan tidak akan terjejas walaupun negara sedang berdepan dengan krisis ekonomi dunia, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kerajaan masih mampu menyediakan dan menyalurkan peruntukan mengikut keperluan PIBG terutamanya bagi menjalankan kegiatan kokurikulum di sekolah.
Peruntukan diluluskan bergantung kepada bilangan pelajar dan aktiviti yang akan dijalankan oleh sekolah berkenaan, katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan pegawai kanan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk mengurangkan peruntukan PIBG dan juga bantuan lain seperti pinjaman buku teks, pakaian sekolah dan bantuan untuk pelajar miskin.
Mengenai perjumpaan tertutup itu, Hishammuddin berkata perjumpaan itu bertujuan untuk mendengar pandangan mengenai pelaksanaan dasar dan program Kementerian Pelajaran di peringkat akar umbi.

Katanya ia meliputi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP), Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan pelaksanaan projek membabitkan Kementerian Pelajaran di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Mengenai PPSMI, beliau berkata Jawatankuasa Induk Pelaksanaan PPSMI telah selesai menganalisis semua pandangan yang diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan berhubung sama ada dasar itu wajar dikekalkan atau tidak.

“Pandangan itu termasuk melalui memorandum, saluran media, pandangan dan kajian yang dibentangkan di dalam Persidangan Meja Bulat pertama sehingga yang kelima baru-baru ini,” kata beliau.

— BERNAMA

No comments: